TUGASAN 1
SSI 3013
UPSI 01 (A131 PJJ)
ZAINAL BIN JAMAL (D056070)
CABARAN-CABARAN PELAKSANAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pendahuluan.
Penyebaran maklumat dan komunikasi (ICT) pada masakini semakin pantas dan maju . Maklumat-maklumat dapat diperolehi hanya dengan menekan jari pada komputer atau telefon tangan dan lain-lain gadget yang terdapat di pasaran masakini. Maklumat yang diperolehi dalam berbagai bentuk seperti gambar-gambar, lakaran, cetakan ,animasi, berlatarbelakangkan muzik dan sebagainya. Begitu juga dengan komunkasi semakin pantas dan menarik. Pengguna boleh menghubungi antara rakan-rakan dengan menggunakan panggilan seperti biasa, panggilan beserta gambar, mesej bergambar dan sebagainya. Pengguna juga boleh menghebahkan atau memaklumkan sesuatu pengumuman dengan lebih meluas terutamanya bagi mereka yang berniaga secara talian atau online.
Penyampaian maklumat secara tersebut di atas juga telah digunakan dengan sebaiknya di dalam bidang pelajaran di sekolah dan kolej. Para pelajar telah didedahkan dengan maklumat penggunaan teknologi maklumat bagi mengikuti perkembangan semasa dan mendapatkan maklumat terkini . Segala urusan pengajaran dan berkaitan pelajaran dirujuk kepada teknologi yang sedang ditingkatkan dan diperkembangkan oleh pihak kerajaan. Para pelajar dan ibubapa boleh mendapatkan maklumat keputusan peperiksaan melalui talian, mengisi borang permohonan juga melalui talian, dan berkomunikasi dengan rakan-rakan lain melalui facebook. Di dalam perancangan pelajaran kerajaan, bidang teknologi maklumat di peringkat sekolah sentiasa akan ditingkatkan dari masa ke semasa dimana para pelajar akan menyediakan kerja rumah dan latihan secara talian dan berkomunikasi dengan guru juga secara talian. Perkara ini telahpun dilaksanakan dengan pihak yang memajukan bidang teknologi komunikasi misalnya di negeri Perak telah diperlengkapkan dengan kemudahan internet secara percuma oleh syarikat YTL dan mewujudkan satu program khas komunikasi pengajaran dikenali sebagai FROG. Setiap guru dan pelajar telah diberikan ID masing-masing untuk mengakses laman FROG bagi berkomunikasi di antara pelajar dan guru dari segi perbincangan berkaitan pembelajaran.
Oleh itu, teknologi maklumat dan komunikasi sudah menjadi keperluan dan perlu diketahui penggunaannya oleh setiap individu pada masakini. Para pelajar perlu didedahkan pengetahuan dan kemahiran ini dengan berhemah dan terkawal agar dapat mengahadapi cabaran-cabaran global yang sedia menanti di hadapan.
Susur-Galur Perlaksanaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT
Hasil daripada inisiatif dan perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia, bersesuaian dengan perkembangan suasana yang sealiran dengan kemajuan teknologi maklumat, penggunaan teknologi maklumat telah diperkembangkan ke dalam urusan pentadbiran dan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Kebanyakan urusan pengurusan pentadbiran di Kementerian dilakukan secara akses talian atau on line dan secara tidak langsung mengurangkan penggunaan kertas di dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Di peringkat sekolah, telah diperkenalkan program Sekolah Bestari. Pada peringkat permula beberapa buah sekolah telah dipilih untuk mengaplikasi perancangan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi melihat sejauh manakah keberkesanan perlaksanaannya. Program ini telah dirancang melalui empat fasa perlaksanan. Fasa tersebut ialah:
a) Fasa 1 (Tahun 1999 hingga 2002). Projek Rintis untuk 88 buah sekolah terpilih.
b) Fasa 2 (Tahun 2002 hingga 2005). Pemantapan 88 buah Sekolah Bestari.
c) Fasa 3 (Tahun 2006 hinnga 2010). Pembestarian Sekolah.
d) Fasa 4 (Tahun 2011 hingga 2020). Konsolidasi dan Kelestarian.
Pelan strategik Pembestarian 2011 hingga 2015:
a) Sokongan Pedagogi dan Teknikal
b) Modal insan dan pembangunan kapasiti
c) Kajian dan Pembangunan (R & D) bagi teknologi dalam PdP.
d) Pembangunan infrastruktur ICT
Cabaran-cabaran Pelaksanaan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
a) Tenaga Pengajar Yang Mahir
Guru-guru mahir yang mengajar matapelajaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah masih lagi tidak mencukupi. Walaupun setiap tahun ramai guru yang berkelulusan ICT dari pelbagai universiti dikeluarkan, tetapi bilangan yang betul-betul mahir dengan teknologi dan maklumat yang terkini adalah kurang. Ini adalah disebabkan mereka kurang pengalaman dan kurang didedahkan dengan maklumat-maklumat baru yang mungkin tidak diperolehi semasa belajar di universiti. Kemahiran yang tinggi hanya dapat diperolehi setelah mereka bekerja beberapa tahun atau mengajar di sekolah beberapa tahun dan mengumpul pelbagai pengalaman dan pengetahuan tentang berkaitan ICT. Walaupun pihak Kementerian ada memberikan latihan dan kursus bagi meningkatkan keupayaan iktisas guru-guru di dalam bidang masing-masing, tidak semua guru-guru tersebut dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya memandangkan bebanan kerja semasa yang berterusan di sekolah. Kekurangan guru mahir di dalam bidang ini agak ketara di kawasan-kawasan luar bandar. Terdapat juga dikalangan guru-guru ICT mengajar matapelajaran yang lain misalnya Matematik, Fizik dan sebagainya. Mereka diletakkan sedemikian bagi mengatasi kekurangan guru di dalam matapelajaran yang berkenaan. Selain daripada itu, faktor kekurangan komputer, komputer banyak yang rosak dan ketiadaan makmal komputer menyebabkan guru-guru ICT mengajar matapelajaran yang lain. Secara tidak langsung kemahiran guru-guru tersebut semakin berkurangan dan daya kreativiti menghasilkan pengajaran ICT yang berekesan terbantut . Sebagai kesan dan akibat daripada faktor-faktor tersebut pelajar tidak dapat mempelajari teknologi dan maklumat secara konsisten dan lebih kreatif. Manakala pihak kerajaan terpaksa mengeluarkan kos setiap tahun bagi menyediakan kursus-kursus untuk guru-guru berkenaan.
b) Kos Pengurusan
Di dalam pengendalian kursus bagi meningkatkan kemahiran iktisas guru-guru ICT, kerajaan memerlukan kos tambahan bagi menyediakan modul, tempat, tenaga pengajar bagi mengendalikan kursus-kursus berkenaan. Modul-modul dicetak dan kemaskini secara terperinci agar maklumat dan objektif terkini dapat disampaikan kepada setiap guru ICT untuk dikongsikan bersama guru-guru dan pelajar-pelajar apabila kembali ke sekolah. Selain daripada itu kemudahan dan tempat mengadakan kursus perlu sesuai dan memudahkan guru-guru untuk hadir berkursus dan tenaga pengajar selesa untuk memberikan perkhidmatan di sepanjang kursus dijalankan. Selain daripada itu guru-guru berkenaan dan tenaga pengajar tersebut terpaksa meninggalkan tugas mereka samada di sekolah atau pusat pengajian tinggi bagi memberikan komitmen kepada tugasan masing-masing.
c) Menyediakan Kemudahan Berkaitan ICT
Untuk menjadikan pengajaran teknologi maklumat dan komnikasi (ICT) berkembang dan mencapai objektif di sekolah, pelbagai kemudahan infrastruktur perlu disediakan di setiap sekolah. Antara kemudahan tersebut ialah makmal komputer, komputer, kemudahan internet dan keselamatan penjagaan serta pengendalian komputer-komputer dan peralatan lain di sekolah.
Pihak kerajaan mengeluarkan kos yang besar bagi memastikan setiap sekolah mempunyai makmal komputer. Proses ini dilakukan secara peringkat demi peringkat. Setiap makmal perlu dilengkapkan dengan kemudahan peralatan seperti komputer, meja dan kerusi serta kemudahan talian internet. Proses pembekalan dan pemasangan kemudahan-kemudahan tersebut memerlukan masa yang lama bagi melengkapkan sepenuhnya makmal tersebut. Komputer-komputer yang dibekalkan perlu diterima dalam bilangan yang mencukupi dan dalam keadaan yang baik. Masalah timbul apabila sebahagian besar daripada komputer yang dibekalkan tersebut telah ada yang rosak dan memerlukan masa dan kos untuk dibaiki. Walaupun masih lagi di dalam jaminan tetapi proses membaikpulih dan mengganti alat memakan masa yang lama. Perkara tersebut sering berlaku di kebanyakan sekolah mungkin disebabkan kualitinya kurang baik atau kurang penyenggaraan yang teliti daripada pihak sekolah.
Selain daripada itu, bekalan komputer yang dibekalkan di sekolah tidak mencukupi jika dibandingkan dengan bilangan murid dan kelas yang ada di sekolah. Oleh itu peluang untuk menggunakan kemudahan ICT di sekolah adalah terhad dan kurang. Para pelajar kebanyakan masa belajar secara teori dan kurang secara hands on. Oleh itu tidak hairanlah mengapa para pelajar yang mengalami kes seperti ini akan merasa janggal atau takut untuk menggunakan komputer dan terus kurang berminat menggunakan komputer untuk aktiviti berkaitan pembelajaran.
Begitu juga dengan kemudahan alat tayangan LCD juga kekurangan di sekolah kerana kos penyenggaraan mahal atau mudah rosak. Oleh itu pengajaran secara dua hala tidak dapat dijalankan di dalam kelas kerana penggunaan LCD adalah terhad di dalam makmal computer dan makmal sains. Penggunaan LCD sangat perlu untuk guru-guru menayangkan tayangan video atau gambar yang boleh merangsang pelajar untub belajar secara dua hala kerana kerjaan telah membekal video cakera padat yang interaktif. Disamping itu guru-guru boleh menggunakan bahan dan maklumat dari internet semasa pengajaran dan pembelajaran. Semua tersebut bukan sahaja merangsang pelajar untuk belajar bahkan menarik minat serta usaha untuk mengambil tahu tentang teknologi maklumat dan komunikasi.
d) Kesukaran Mendapat Akses Internet
Kesukaran untuk mendapatkan akses internet juga mengurangkan dan manjadi cabaran kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang terletak di kawasan pedalaman. Kawasan-kawasan pedalaman yang tiada bekalan elektrik dan terlalu jauh sukar untuk mendapatkan akses internet. Ini adalah disebabkan oleh liputan internet tidak sampai ke kawasan berkenaan. Oleh itu para pelajar yang tinggal di kawasan berkenaan terhad pengetahuan tentang teknologi maklumat berbanding dengan pelajar lain terutama yang tinggal di bandar-bandar besar. Begitu juga pada masa yang lalu, pihak sekolah terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk mendapatkan akses internet dengan membayar yuran perkhidmatan secara bulanan. Ada juga kawasan-kawasan pedalaman yang jauh sering mendapat gangguan akses internet atau lemah liputannya. Selain daripada itu kesesakan akses talian internet juga berlaku di sekolah-sekolah akibat pengguna yang terlalu ramai. Guru-guru dan pelajar menggunakan kemudahan talian internet sekolah secara tanpa talian (WIFI) maka proses mendapatkan aksesnya lambat dan menyukarkan proses pembelajaran. Bagi mengatasi masalah ini ada pihak sekolah mengambil inisiatif melanggan dua atau tiga akses talian internet dengan mengasingkan untuk kegunaan pentadbiran dan pengajaran dan pembelajaran. Ini melibatkan kos tambahan bagi membayar yuran akses tersebut. Selain daripada itu, kerosakan juga berlaku kepada komponen-komponen internet menyebabkan penggunaanya sering terganggu dan dikurangkan. Kerosakan berlaku secara berulang-ulang dan memerlukan tambahan kos penyenggaraan. Kecurian pengesan talian internet juga kerap berlaku menyebabkan pihak pentadbiran menangguhkan pembelian yang baharu dengan mengambilkira kos yang bakal dikeluarkan untuk jangkamasa panjang.
Akses talian internet memerlukan kos yang tertentu untuk mendapat kepuasan dan kelicinan kelajuan pancarannya. Semakin bertambah kos yang dibayar semakin pantas kelajuan dan tempoh penggunaan akses talian tersebut. Sebab itulah ramai yang suka mengunakan talian yang diberikan secara percuma.
e) Sikap Pelajar
Seperti biasa, melalui internet pelbagai kemudahan maklumat mudah diperolehi dengan cepat dan jelas samada dalam bentuk tulisan, gambar dan video. Oleh itu penggunaan internet seharusnyalah digunakan dengan betul dan memberikan sesuatu pulangan yang positif kepada orang ramai terutama pelajar. Masalah besar yang timbul ialah penggunaannya disalahgunakan Para pelajar lebih suka dan kerap menggunakan game atau permainan semasa menggunakan komputer samada secara akses melalui talian internet atau yang telah disimpan di dalam komputer. Pelajar sanggup bermain permainan maya ini di dalam jangkamasa yang lama dan berulang-ulang. Oleh itu pelajar lebih fokus kepada aktiviti yang menyeronokkan dan melalaikan sewaktu mengaplikasi komputer. Selain daripada itu maklumat-maklumat yang terdapat di dalam talian internet yang ada bersifat positif dan negatif. Kemungkinan untuk melihat dan membaca maklumat-maklumat yang negatif adalah lebih besar dan sangat mudah. Lebih-lebih lagi apabila mereka di dalam kelompok yang ramai dan tidak diperhatikan oleh guru-guru dan ibu bapa. Sikap inilah yang sangat sukar dikawal terutamanya bila mereka bersendirian menggunakan akses internet. Selain daripada itu para pelajar lebih berminat dan lebih mahir di dalam memuat turun video, filem-filem terbaru dan lagu-lagu yang popular semasa mengakses internet. Walaupun mereka berjaya menggunakan sebanyak mungkin aplikasi program komputer, dan berjaya mempelbagaikan kemahiran mereka di dalam operasi secara talian internet, tetapi faedah untuk memperkembangkan minda dan meningkatkan pengetahuan ilmiah akan menjauh dan tersasar daripada matlamat asal. Matlamat untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif akan gagal sebaliknya melahirkan modal insan yang lebih kepada mementingkan keseronokan dan hiburan semata-mata. Perkara lain yang menjadi kegemaran pelajar di dalam menggunakan teknologi maklumat ialah mengunakan telefon pintar, netbook, untuk menghubungi rakan-rakan kenalan setiap kali berpeluang mengakses internet. Mereka sanggup berbalas-balas mesej dalam jangkamasa yang lama hanya untuk mesej-mesej yang tidak berfaedah atau untuk suka-suka. Keadaan akan menjadi lebih teruk apabila mereka saling-saling kata-mengata atau memfitnah sesama mereka atau orang lain yang mereka kenali. Sebagai akibatnya berlakulah pergaduhan dan permusuhan di antara mereka dan mewujudkan suasana yang tidak sihat dikalangan mereka.
Pelajar-pelajar yang menerima secara percuma netbook yang daripada kerajaan juga tidak menggunakannya untuk meningkatkan keupayaan mereka di dalam ICT, sebaliknya mengambil kesempatan menjadikannya sebagai bahan untuk mendapatkan hiburan iaitu menyimpan sebanyak mungkin filem-filem terbaru dan juga lagu-lagu terbaru. Sebahagian besarnya ada yang telah rosak akibat diserang virus dan masalah lain. Akhirnya netbook tersebut terbiar dan tidak digunakan lagi.
Seperkara lagi ialah ada di antara mereka yang menjual semula netbook untuk mendapatkan tunai dan menggunakannya bagi perkara yang lain.
f) Peranan ibu bapa dan Guru-guru
Setiap guru dan ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan mengendalikan komputer dan tahu mengakses internet untuk membantu mengawal tindak-tanduk pelajar semasa menggunakan komputer dan internet. Semasa di sekolah guru-guru boleh menyemak dan melihat komputer pelajar samada ianya digunakan kepada perkara yang positif atau sebaliknya sewaktu pengajaran dan pembelajaran ICT di makmal komputer ataupun di kelas. Guru juga sesekali boleh membuat spotcheck kandungan maklumat yang terdapat di dalam komputer atau netbook mereka.
Semasa di rumah, ibu bapa pula akan mengenaplasti dan menyiasat isi kandungan netbook pelajar. Namun begitu menjadi cabaran kepada ibu bapa dan guru sekiranya mereka kurang arif atau tiada pengetahuan tentang pengendalian komputer dan mengakses internet.
g) Pelajar Kurang Mampu Melanggani Internet dan Memiliki Komputer
Untuk meningkatkan lagi kecekapan dalam ICT, pelajar mestilah selalu membuat latihan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP). Jumlah waktu PdP di sekolah adalah terhad dan peluang untuk menggunakan komputer secara hands on adalah terhad. Untuk memiliki komputer sendiri seperti netbook adalah sukar memandangkan kebanyakan pelajar adalah berlatarbelakangkan keluarga yang sederhana. Bekalan netbook yang dibekalkan oleh kerajaan adalah terhad kepada pelajar yang betul-betul miskin. Oleh itu teori yang telah dipelajari tidak dapat dikembangkan dan dipraktikkan. Akhirnya pelajar kurang beminat dan cuba menjauhi daripada mata pelajaran ICT. Keadaan akan menjadi lebih rumit apabila guru memberikan kerja rumah yang perlu diselesaikan dengan menggunakan komputer dan perlu dirujuk ke internet. Walaupun terdapat kedai Cybercafe yang boleh dilawati untuk menyiapkan tugasan, namun begitu pelajar perlu mengeluarkan wang perbelanjaan untuk membayar kos penggunaan komputer dan internet. Disamping itu pelajar juga perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk tambang pergi kedai Cybercafe.
h) Prosedur yang ketat.
Seperti biasa, di dalam melaksanakan sesuatu perancangan mestilah mengikut prosedur yang tertentu untuk memastikan keselamatan, pengawalan inventori perlatan ICT. Sekurang-kurangnya seorang juruteknik ICT dibekalkan ke sekolah bagi memastikan penggunaan ICT tidak disalahgunakan oleh guru-guru dan pelajar. Oleh itu bagi mengelakkan kos penyenggaraan yang tinggi dan mengelakkan peralihan peralatan ICT tanpa kawalan, prosedur yang ketat perlulah diaplikasikan bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini. Kesan daripada prosedur tersebut menyebabkan guru-guru sukar dan kurang berminat untuk menggunakan makmal computer dan peralatan yang lain terutamanya LCD yang sensitif dan perlu digunakan mengikut langkah-langkah tertentu bagi mengelakkan berlakunya kerosakan pada alat atau komponennya.
i) Kekangan Untuk Menghabiskan Silibus
Guru-guru mempunyai target untuk menyelesaikan silibus dalam jangkamasa yang tertentu terutama bagi kelas-kelas yang terlibat dengan peperiksaan seperti tingkatan tiga untuk peperiksaan PMR dan kelas-kelas tingkatan lima yang terlibat dengan peperiksaan SPM. Silibus perlu dihabiskan dalam masa yang telah dirancang agar tidak menganggu urusan-urusan yang lain seperti persiapan peperiksaan, dan mengemaskini maklumat yang lain. Sekiranya penggunaan ICT di dalam pengajaran melewati masa yang dirancang, kemungkinan kesuntukan untuk menghabiskan silibus mungkin berlaku kerana terlalu kerap mengunakan tayangan video, courseware yang dibekalkan. Guru-guru perlu menganalisa courseware yang dibekalkan dan memilih bahagian-bahagian yang penting dan bersesuaian. Ini tidak bermakana courseware yang dibekalkan bahagian kokurikulum tidak sesuai dengan PdP , tetapi jika guru-guru menggunakan sepenuhnya semasa PdP, ditakuti tidak sempat untuk menghabiskan silibus sesuatu matapelajaran. Apa yang perlu dilakukan ialah menyunting bahagian-bahagian yang boleh ditinggalkan atau ang kurang penting.
Selain daripada itu disebabkan peralatan dan perkakasan ICT terhad dan terkawal, proses menggunakannya juga perlu mengikut giliran dan tempahan. Oleh itu guru perlu merancang dan menggunakan perlatan ICT secara berkala dan memastikan silibus dapat dihabiskan dalam waktu yang telah dirancang.
Berdasarkan kepada beberapa cabaran-cabaran yang dihadapi di dalam perlaksanaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran seperti yng telah dinyatakan di atas, dapat disimpulkan bahawa kebanyakannya melibatkan guru, pelajar, pentadbiran dan prasarana ICT itu sendiri. Namun begitu cabaran-cabaran tersebut masih boleh dikawal dan di atasi dengan mengambil beberapa langkah yang tertentu. Bagi cabaran-cabaran yang sukar di atasi misalnya melibatkan sikap pelajar, ianya perlulah ditangani dengan bijak dan berhati-hati agar matlamat asala dapat dicapai. Manakala masalah untuk mendapatkan akses internet ianya memerlukan masa di mana usaha masih dijalankan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan agar memenuhi kehendak seluruh warga dari Perlis hinggalah ke Sabah. Oleh itu beberapa cadangan dan langkah boleh diambil untuk mengurangkan dan mengatasi cabaran-cabaran yang tersebut di atas.
Cadangan-cadangan Untuk Mengatasi Cabaran-cabaran Perlaksanaan ICT Dalam PdP
a) Mencari Sumbangan Pihak Swasta
Pihak kerajaan boleh mengadakan kursus komputer dengan bekerjasama dengan pihak swasta atau syarikat tertentu misalnya Maxis, Celcom, Telekom Malaysia bagi menanjurkan kursus peningkatan kemahiran ICT. Pihak berkenaan boleh menyumbangkan sedikit kewangan bagi membantu mengadakan kursus ICT untuk meningkatkan kemahiran guru-guru di dalam menggunakan aplikasi computer dan ICT. Kursus seperti ini hendaklah dijalankan di sekolah dalam masa sehari. Kursus yang mengambil masa yang lama akan menyebabkan guru-guru kurang berminat untuk menyertainya. Selain daripada guru-guru, kursus sehari juga boleh diberikan kepada pelajar untuk memahami lebih tentang ICT. Selain daripada itu pihak sekolah juga boleh memohon kepada penyumbang-penyumbang tersebut menyumbangkan kelengkapan ICT mengikut kesediaan dan keikhlasan mereka.
b) Pengurusan Pihak Sekolah
Pihak sekolah boleh mengusahakan dan memastikan makmal computer telah dilengkapkan dan diuruskan dengan baik iaitu dengan mengurangkan bebanan kerja guru-guru ICT dan juruteknik yang sedia ada. Mereka mestilah diberikan tugas yang lebih menumpukan kepada kelancaran dan kecekapan mengurus hal-hal keselematan, penyenggaraan kelangkapan ICT di makmal computer, makmal sains dan di tempat lain. Ini dapat mengurangkan kerosakan pada komputer yang telah dibekalkan disamping memastikan penggunaan yang sebaik mungkin. Selain daripada itu sekiranya boleh, kurangkan prosedur yang agak ketat supaya guru-guru yang berkenaan dapat menggunakan makmal komputer ataupun sains dan juga meminjam peralatan ICT untuk tujuan PdP.
Pihak sekolah juga boleh mengusahakan bagi mendapatkan talian akses internet melalui sumbangan PIBG atau Kelab Guru atau individu tertentu. Akses talian internet mesti mempunyai kemampuan yang cukup untuk menampung keperluan PdP samada matapelajaran sains, matematik, bahasa inggeris dan lain-lain lagi.
c) Sikap Pelajar Yang Positif
Guru-guru perlu lebih aktif mendidik dan menyampaikan maklumat berkaitan tujuan dan matlamat yang sebenar mempelajari ICT dan menggunakan alat teknologi seperti komputer dan telefon pintar supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat dan menyalahgunakan kemudahan yang sedia ada. Ingatan seperti ini hendaklah diberikan sentiasa disamping spotcheck yang dilakukan terhadap aktiviti mereka.
Selain daripada itu netbook yang telah diberikan kepada mereka hendaklah disiasat dan disemak semasa PdP dijalankan. Ini bertujuan untuk mengelakkan para pelajar berkenaan menyimpan atu memuat turun video-video lucah, gambar-gambar yang tidak bermanafaat dan lain-lain perkara negatif.
Ibu bapa juga perlu didedahkan dengan pengetahuan ICT bagi membantu guru-guru memantau penggunaan internet dan maklumat yang terdapat di dalam netbook pelajar semasa mereka di rumah. Segala tindak-tanduk pelajar hendaklah dikenalpasti oleh ibu bapa atau penjaga supaya tidak bergaul dengan rakan-rakan yang kurang sihat.
d) Mengurangkan Bebanan Guru
Guru-guru diberikan lebih banyak masa menumpukan penggunaan ICT di dalam PdP dengan mengurangkan aktiviti ko akademik dan aktiviti bukan akademik. Penerapan aktiviti ko akademik atau bukan akademik boleh diterapkan melalui ICT seperti menayangkan video berkaitan kemasyarakatan, permainan, aktiviti badan unifom dan lain-lain lagi. Guru akan lebih kreatif di dalam menghasilkan bahan bantu pengajaran dalam bentuk cakera padat, poer point, excel dan sebagainya.
Kesimpulan
Berdasarkan perkembangan semasa, penggunaan peralatan ICT sememangnya tidak dapat dielakkan. Sebaik-baiknya setiap warga perlu mengetahui menggunakan dan mengoperasi komputer, menggunakan telefon pintar, alat-alat berkaitan ICT yang lain agar mudah mengikuti perkembangan semasa dan menggunakannya bila memerlukan. Ini adalah kerana kebanyakan aktiviti kehidupan seharian telah banyak dimudahkan dengan menggunakan teknologi terkini. Sebagai contohnya urusan pembayaran bil, cukai, lesen, insurans, permohonan jawatan, mengisi maklumat dan menyemak keputusan pelajaran pelajar semuanya dilkukan secara talian atau on line.
Maklumat-maklumat terkini seperti harga tiket, hotel, urusan pembelian barangan juga mudah didapati melalui teknologi ICT. Pengguna juga boleh berkomunikasi dan berhubungan secara terus dan percuma dengan anak, rakan samada dalam negeri ataupun di luar negara.
Dalam konteks pembelajaran, pelajar dapat belajar secara interaktif dan dua hala dan menjadikannya lebih menarik dan memudahkan. Oleh itu secara tidak langsung dapat mengurangkan pembelajaran secara tradisional iaitu guru bercakap, pelajar mendengar.
Oleh itu bagi memantapkan lagi penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) faktor dalaman, jiwa, rohani perlulah dikukuhkan dengan sifat terpuji dan iman yang kukuh agar dapat melawan nafsu atau perkara-perkara negatif yang sukar dihapuskan di dalam talian internet.
Oleh itu pada peringkat awal iaitu semasa di sekolah, para murid, pelajar perlu dibentuk akhlak yang baik bagi mengahdapi persekitaran yang pelbagai khasnya dalam teknologi dan komunikasi bagi bersedia menghadapi suasana yang dunia yang global.
Rujukan
1. Ab. Rahim Selamat (1990). Teknologi sistem pengajaran.Kuala Lumpur: Penerbit
Fajar Bakti.
2. Sharifah Alwiah Alsagoff (1992). Teknologi pengajaran. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
3. Yusuf Hashim (1998). Teknologi pengajaran. Kuala Lumpur. Penerbit Fajar Bakti.
4. Cabaran Perkembangan ICT Terhadap Insan Kamil Mukamil
Diambil pada 8 Oktober, 2013 dari
http://wanmohdaffendy.blogspot.com/2012/11/cabaran-perkembangan-ict-terhadap-insan.html
5. Isu Dan Cabaran Penggunaan ICT Dalam Pengajaran
Diambil pada 9 Oktober, 2013 dari
http://www.scribd.com/doc/21277985/Isu-Dan-Cabaran-Penggunaan-ICT-Dalam- Pengajaran
6. Isu:2 Penggunaan Teknologi & ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Diambil pada 9 Oktober, 2013 dari
www.slideshare.net/isuict12/isuict.presentation-kumpulan-12-12989330
7. Mudah Belajar.Com
Diambil pada 9 Oktober, 2013 dari
http://www.mudahbelajar.com/?p=523
8. PenggunaanTeknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Dalam Pengajaran dan
Pembelajaran.
Diambil pada 15 Oktober, 2013 dari
http://www.slideshare.net/shahwiran/penggunaan-ict-dalam-pp-presentation
No comments:
Post a Comment