Pages

Wednesday, 4 December 2013

Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Falsafah pendidikan kebangsaan bermatlamat usaha berterusan melahirkan individu yang berjaya dari segi meningkatkan pencapaian individu dalam kemahiran dan potensi yang dimilikinya secara menyeluruh dan bersepadu di samping mampu menyelesaikan masalah (intelek), berakhlak mulia (rohani dan emosi), bemoral tinggi dan sihat tubuh badan (jasmani) bagi membantu diri sendiri, keluarga dan masyarakat mencapai kesejahteraan. Selain daripada itu pendidikan yang diberikan tersebut adalah berlandaskan dan berpandukan kepatuhan kepada Tuhan.


Falsafah pendidikan sains
Usaha berterusan ke arah mempertingkatkan keupayaan individu untuk berfikir dan menyelesaikan masalah secara kritis dan kreatif. Setiap individu berpengetahuan tentang sains dan seboleh-bolehnya mampu menggunakan pengetahuan sains untuk menyelesaikan masalah dan mengaplikasikannya dalam kehidupan sehariannya. Selain daripada itu, pengetahuan sains itu juga mampu membentuk kemahiran intelek yang tinggi, akhlak mulia, jiwa dan fizikal yang sihat dan kuat. Kesemua pengetahuan tersebut berlandaskan kepada kpercayaan kepada Tuhan.


FALSAFAH SAYA

Membimbing dan membentuk individu supaya menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat dan mampu menghadapi cabaran yang sentiasa mencabar secara bijak dan sentiasa berfikiran positif .
Tugasan 3 (SSI 3013)
Simulasi
UPSI 01 (A131 PJJ)
ZAINAL BIN JAMAL (D056070)
Simulasi
Bidang pendidikan sentiasa mengalami perubahan dari segi kaedah dan teknik pengajaran dan juga kurikulumnya bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa dan keperluan semasa. Pada masa kini pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi iaitu para murid dilatih untuk sentiasa berfikir untuk menyelesaikan masalah.  Murid-murid diberikan latihan berkaitan menyelesaikan masalah dan diminta untuk memberikan pandangan dan cadangan terhadap penyelesaian yang telah diberikan.
Bagi pihak guru juga perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bagi menyesuaikan dengan suasana pembelajaran yang berfokus kepada penyelesaian masalah.  Kaedah dan teknik yang digunakan mestilah menarik dan ‘hands on’. Pada masa kini murid-murid telah biasa dan lebih berminat dengan penggunaan komputer dan teknologi maklumat (ICT). Oleh itu guru-guru perlu menggabungkan kurikulum dengan teknologi maklumat terkini bagi menghasilkan kaedah dan teknik penyampaian yang  terbaik.
Kaedah simulasi boleh digabung jalinkan dengan teknologi terkini bagi menghasilkan kaedah pengajaran yang baik dan menarik.
Simulasi merupakan satu situasi yang diwujudkan untuk menyerupai keadaan sebenar. Dengan kaedah ini, murid-murid melakukan sesuatu perkara atau mengaplikasikan sesuatu secara menggunakan model atau rekaan sementara bagi mendapatkan pengetahuan kecekapan dan kemahiran yang diperlukan untuk digunakan dalam situasi yang sebenar nanti. Bagi membantu mewujudkan keadaan simulasi, alat seperti komputer diperlukan untuk membolehkan murid-murid menjalani latihan yang mendalam. Komputer yang dilengkapkan dengan perisian tertentu dan juga internet dapat mewujudkan pelbagai kaedah simulasi yang baik dan mampu menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran. Pelajar boleh mencuba sendiri secara maya secara simulasi tentang sesuatu eksperimen, maklumat dan mengubahsuai pemboleh ubah tertentu bagi mendapat kan jangkaan-jangkaan sesuatu hipotesis.
Sebagai contohnya pengajaran prinsip akaun akan lebih menarik apabila murid-murid mengsimulasi kunci kira-kira, penyata untung rugi dan buku akaun dengan menggunakan program Excel di dalam komputer. Melalui kaedah ini murid-murid boleh mencuba beberapa kali menghasilkan penyata kewangan yang seimbang secara berulang-ulang kali. Murid-murid juga telah didedahkan dengan contoh-contoh akaun perniagaan, syarikat dan sebagainya.
Kaedah simulasi akan memotivasikan murid-murid untuk mencuba menyelesaikan masalah secara pra pendedahan dan ingin meneruskan latihan secara berterusan dan menambah pengetahuan yang baharu.
Beberapa perkara perlu dititikberatkan sebelum melaksanakan simulasi di dalam pembelajaran. Iaitu, prinsip-prinsip simulasi dan prosedur.
Prinsip-prinsip simulasi
·        Satu situasi bermasalah secara bertulis atau lisan diberikan.
·        Penerangan diberi tentang:
-        Masalah yang hendak diselesaikan
-        Peranan diagihkan sekiranya diperlukan
-        Arahan yang perlu diberikan
-        Tempoh masa sesi simulasi ditetapkan
·    Ketika simulasi sedang berjalan guru hanya memerhati
·    Selepas simulasi, murid diminta membentang pandangan dan cara-cara penyelesaian
·    Perbincangan antara guru dan murid diadakan di peringkat akhir untuk membuat rumusan
Langkah-langkah menjalankan simulasi
·    Guru mewujudkan situasi yang bermasalah.
·    Guru memberi penerangan tentang tujuan, matlamat dan peranan.
·    Murid-murid memainkan peranan dan boleh mengaplikasikan komputer.
·    Komputer mencukupi dan dalam keadaan baik.
·    Talian internet yang efisien.
·     Satu kesimpulan dibuat  tentang simulasi yang dijalankan.
Simulasi menggunakan carta seperti graf juga dapat membolehkan murid-murid membuat analisa dan rumusan dengan memanipulasikan data-data yang diberikan bagi membuat analisa tentang sesuatu topik yang diajari. Penggunaan komputer untuk mengsimulasi topik pembelajaran misalnya melalui graf membuatkan murid-murid berfikir untuk menyelesaikan masalah secara kritis dan kreatif. Di samping itu murid-murid akan belajar secara berpusatkan murid.
Guru pula akan memantau dan memberikan bantuan sekiranya murid-murid memerlukannya.
Berikut adalah satu contoh pembelajaran simulasi iaitu tema kepelbagaian benda hidup  dalam mata pelajaran sains. Sub topiknya ialah hubungan di antara mangsa dan pemangsa. Pemangsa di sini ialah kucing liar dan mangsanya ialah arnab. Di dalam pembelajaran ini simulasi dijalankan dengan menggunakan graf. Murid –murid memanipulasikan butang pemangsa dan mangsa bagi menghasilkan pelbagai bentuk graf yang menggambarkan kesan akibat penambahan dan pengurangan dua pemboleh ubah yang dimanipulasi iaitu bilangan pemangsa dan mangsa.


Situasi pertama

 


                           

Berdasarkan graf didapati  bilangan pemangsa dan mangsa tidak bertambah dan tidak berkurang dan stabil. Oleh itu tiada perubahan yang ketara terhadap bilangan populasi pemangsa dan mangsa.  Oleh rumusan boleh dikatakan bilangan kedua-dua haiwan tersebut stabil sepanjang tahun.


  Situasi kedua

 


Bilangan populasi pemangsa berkurang pada awalnya kerana bilangan mangsa tiada peningkatan pada awalnya. Ini menyebabkan bekalan makanan berkurangan. Oleh itu pemangsa berkurangan. Apabila pemangsa berkurangan ini memberi peluang kepada mangsa untuk membiak dan menambah bilangan populasi. Akibatnya bilangan pemangsa pula bertambah.

  
  
 Situasi ketiga




 Kedua-dua pemangsa dan mangsa stabil dari segi penambahan dan pengurangan bilangan populasi di sepanjang tahun tersebut.


  
 Situasi keempat










Begitu juga dengan situasi keempat didapati kadar penambahan dan pengurangan yang berlaku kepada pemangsa lebih tinggi berbanding dengan kadar penambahan dan pengurangan mangsa. Ini boleh dilihat daripada bentuk puncak graf yang dihasilkan.
Berdasarkan contoh simulasi di atas, murid-murid boleh memanipulasikan graf dengan menggunakan program STELLA bagi menggambarkan kesan penambahan dan pengurangan pemangsa dan mangsa.
Oleh itu murid-murid dapat belajar secara ‘hands on’ dan menggunakan pelbagai deria. Murid juga merasa seronok dan boleh mencuba beberapa kali untuk melihat corak hasil graf dan membuat analisa serta memikirkan inferens terhadap pemerhatian graf.
Murid-murid akan cuba menyelesaikan masalah dan berminat untuk berbincang dengan lebih lanjut bersama-sama rakan dan guru semasa pembelajaran. Ini akan memberikan suasana yang kondusif  di dalam kelas tersebut.
Kesimpulan
Kaedah ialah satu siri tindakan guru yang bersistematik serta berturutan dan bertujuan mencapai objektif yang spesifik.Teknik pula merujuk  kepada unit-unit kecil yang terkandung di dalam sesuatu kaedah. Teknik juga merangkumi aktiviti, perlakuan dan kemahiran guru yang digunakan dalam pengajaran. Simulasi merupakan kaedah yang sesuai bagi menarik perhatian murid-murid untuk belajar dan menganalisa sesuatu perkara. Murid-murid akan bertambah motivasinya dan mengembangkan ideanya di dalam mempelajari sesuatu perkara.  Murid-murid akan sentiasa berfikir dan bertindak secara aktif semasa mencari maklumat dan membentangkan hasil dapatan kepada rakan-rakan dan guru. Guru pula akan sentiasa kreatif bagi mendapatkan idea-idea baru untuk menghasilkan kaedah dan bahan bantu mengajar. Beberapa matlamat pendidikan terkini iaitu pelaksanaan ICT di dalam pembelajaran, pelajaran berpusatkan murid, memupuk kemahiran berfikir aras tinggi dapat dijayakan melalui simulasi menggunakan perisian komputer dan dari  internet.
Hasilnya murid-murid kita dapat bersaing dengan murid-murid dari negara lain dan meninggikan kualiti pendidikan negara. Selain daripada itu matlamat melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani  dapat di capai dari masa ke semasa.





Rujukan
Diambil dari Portal Bahagian Teknologi Pendidikan Perak
Diambil dari

Diambil dari portal Fakulti Ekonomi dan Pengurusanhttp://www.econ.upm.edu.my/~alias/MGM3161/SIMULASI.ppt

Diambil dari slideshare

Diambil dari
               http://ftmk.utem.edu.my/zaki/VolumeII/PENULISAN%20DAN%20PENERBITAN/4.2/Prosiding/4.2.7.pdf






Tuesday, 3 December 2013

KUMPULAN

UPSI 01(A131PJJ)
Tugasan 2 Data Logging
UPSI 01 (A131 PJJ)
ZAINAL BIN JAMAL (D056070)

PENGENALAN
Air
Semua benda hidup memerlukan air untuk meneruskan hidup di samping makanan. Air  memberikan kesegaran kepada benda hidup pada hari yang panas dengan menjadikannya sebagai minuman dan cecair untuk menyejukkan badan.Sebahagian besar daripada badan manusia terdiri daripada air. Ianya memberikan bentuk badan yang sempurna dan sihat. Kandungan darah di dalam darah manusia juga mengandungi air. Manusia akan mengalami kekeringan atau dehidrasi jika badan mereka kekurangan air. Jika berlaku kekurangan air yang berlebihan akan menyebabkan manusia menjadi lemah dan boleh membawa maut.
Haiwan juga memerlukan air bagi menampung keperluan tubuh badan yang membentuk struktur badan dan komponen darah mereka. Haiwan akan menjadi lemah dan boleh membawa maut jika badan mereka mengalami kekurangan air yang berlebihan.

Begitu juga dengan tumbuhan, juga memerlukan air untuk memastikan tumbuhan terus hidup subur dan terus membesar. Sistem pengangkutan tumbuhan memerlukan air sebagai bahan yang mengangkut mineral dan makanan di dalam sel-sel tumbuhan.Oleh itu tidak hairanlah kebanyakan benda hidup tinggal di kawasan yang mengandungi air.

Transpirasi
Air meliputi 95% daripada berat bersih suatu tumbuhan. Air merupakan medium yang mengangkut bahan dalam tumbuhan. Air juga sangat penting untuk mengekalkan kesegahan sel tumbuhan. Air yang memasuki sel tumbuhan akan mengenakan tekanan terhadap dinding sel. Sel itu menjadi segah dan membekalkan kekuatan untuk menyokong tumbuhan. Tumbuhan memperolehi air dari dalam tanah. Akar memainkan peranan penting membawa air di dalam tanah bersama mineral dengan bantuan traspirasi.
Transpirasi ialah proses di mana tumbuhan kehilangan air melalui daun secara sejatan. Oleh kerana air disejat melalui daun, tekanan rendah akan berlaku di dalam daun dan batang tumbuhan. Oleh itu air akan ditarik masuk ke dalam akar dan mengisi ruang-ruang kosong itu. Proses ini juga membantu menyerap gas karbon dioksida semasa fotosintesis.
ENGAGE
                   
                             Gambar kesan tumbuhan kekurangan air
1. Adakah tumbuhan ini kekurangan zat makanan.
2. Apakah yang menyebabkan tumbuhan kelihatan sedemikian?
3. Adakah cuaca yang panas dan suhu yang persekitaran yang tinggi menyebabkannya berlaku?
4. Namakan proses yang membolehkan tumbuhan tumbuh segar.

EMPOWER  (Bahagian A)

Tujuan: Mengkaji Kesan Suhu Terhadap Kadar Transpirasi
Pernyataan Masalah: Adakah kadar transpirasi di pengaruhi oleh suhu?
Hipotesis: Kadar transpirasi bertambah apabila suhu bertambah.
Pembolehubah:    a) Dimalarkan:Saiz dan jenis tumbuhan, keamatan cahaya, kelembapan udara,
                               kehadiran angin dan masa.
                          b)  Dimanipulasi: Suhu
                          c)  Bergerak balas: Kuantiti air yang hilang

Bahan dan Radas:    Dua pokok keembung muda yang sama saiz dan mempunyai kuantiti daun
                               daun yang sama, minyak masak, kapas, kelalang kon, jam randik, termometer
                               neraca elektronik dan beg plastik hitam

Prosedur : 1. Sediakan  dua potometer  seperti  yang ditunjukkan  rajah 1a dan 1b di bawah.
                 2. Letakkan Potometer A pada suhu bilik. Catatkan suhu bilik tersebut.
                 3. Letakkan Potometer B di bawah cahaya matahari. Catatkan suhu sekeliling.
                 4. Ambil bacaan awal pada neraca elektronik potometer  A dan potometer B.
                     Catatkan bacaan tersebut.
     5. Selepas dua jam, ambil bacaan  potometer A dan potometer B dan catatkan
                     bacaan tersebut.
                 6. Catatkan keputusan anda dalam jadual dan kira kadar transpirasi.



RAJAH 1
                          

                                 
                                           Potometer A                                         Potometer B

     Pemerhatian

            Analisa: 1. Kadar transpirasi lebih tinggi berlaku pada potometer B yang didedahkan
                             di bawah cahaya matahari.
Potometer
Bacaan Awal
Bacaan Akhir
  Kadar transpirasi
       A
     116.50g
    110.00
  6.5g/2j =  3.25gj-1
       B
     116.50g
     98.50
  18g/2j  =  9gj-1





     Kesimpulan: Suhu yang tinggi meningkatkan kadar transpirasi.



 EMPOWER (Bahagian B)

Menggunakan data sensor.
Prosedur:  1. Sediakan  radas seperti rajah 1.
                  2. Sambungkan Potometer A dan  Potometer B kepada sensor yang dihubungkan
                      Kepada sebuah computer.
                  3. Hidupkan suis computer.
                  4. Jalankan eksperimen seperti prosedur di atas selama dua jam dan dapatkan
                      data-data dan catatkan ke dalam jadual.


                                                                                                                    
                         





                                      Potometer A                        Potometer B

                    Contoh gambaran potometer disambung kepada sensor dan komputer



Contoh data daripada sensor


ENHANCE
Tumbuhan hijau sangat diperlukan di bumi kerana tumbuhan adalah sumber asas dalam rantai makanan. Oleh itu sesuatu habitat akan dipenuhi oleh tumbuhan bagi menggalakkan kehadiran  haiwan-haiwan yang lain. Keadaan ini akan berterusan  dan berkembang  yang akhirnya akan membentuk ekosistem.
Tumbuhan juga memastikan suhu di bumi terkawal dan mengurangkan kesan rumah hijau. Melalui proses fotosintesis tumbuhan hijau menyerap gas karbon dioksida dan membebaskan gas oksigen ke dalam udara. Selain daripada itu proses transpirasi membebaskan banyak air ke dalam udara melalui sejatan. Ini secara tidak langsung membantu mengawal suhu dan iklim di sesebuah tempat.
Manusia sangat memerlukan tumbuhan hijau untuk mendapatkan makanan dan keperluan harian seperti membuat kertas, rumah, bot dan lain-lain lagi.
Tumbuhan akan menjadi layu apabila bekalan air yang diterimanya sangat kurang. Apabila air sangat kurang, proses transpirasi tidak boleh berlaku. Akibatnya  pertukaran air dan gas oksigen di dalam udara melalui tumbuhan hijau ke udara menjadi kurang.


Tumbuhan Mengurangkan Suhu

Pada masakini pembangunan sangat pesat berlaku di kawasan bandar. Kebanyakan bangunan yang didirikan dalam keadaan yang tinggi dan bersaiz besar. Akibatnya keadaan suhu sekitar dalam kawasan bandar semakin meningkat dan mengakibatkan rasa panas dirasai oleh penghuninya. Oleh itu penggunaan tenaga elektrik semakin meningkat kerana penghuninya menggunakan alat penghawa dingin dan kipas bagi mengurangkan rasa kepanasan akibat suhu yang tinggi itu. Selain daripada peningkatan tenaga yang digunakan, kesan sampingan ialah mengurangkan lapisan ozon dan secara tidak langsung akan menjejaskan kualiti udara.
Salah satu tindakan yang telah diambil bagi menghadapi kesan suhu tinggi di kawasan bandar ialah dengan mewujudkan taman tumbuhan di dalam kawasan bandar. Taman tumbuhan ialah satu aktiviti menggalakkan orang ramai menanam pokok di kawasan perumahan dan menggalakkan kerajaan tempatan untuk mewujudkan taman tumbuhan hijau di kawasan bandar. Orang ramai digalakkan untuk menanam sekurang-kurangnya pokok bunga di halaman rumah  masing-masing untuk menggalakkan proses transpirasi berlaku.
Menurut beberapa kajian, di dapati pembentukan hutan di dalam bandar akan menurunkan suhu sekeliling. Pokok-pokok yang rendang akan membantu mengurangkan suhu di persekitaran antara 3 hingga 5 C. Penurunan suhu yang maksimum pada waktu tengahari ialah sebanyak 0.04 C hingga 0.2 C bagi setiap 1% pertumbuhan pokok.
Begitu juga di dalam kajian pembebasan meruap hidrokarbon daripada kereta yang diletakkan kawasan teduh yang dipenuhi tumbuhan berkurang sebanyak 8% berbanding dengan kereta yang diletakkan di kawasan yang tiada teduhan daripada tumbuhan.
Berdasarkan hasil kajian tersebut, kita dapat membuat inferens iaitu tumbuhan hijau menjalankan proses transpirasi iaitu membebaskan wap air ke persekitarannya di samping gas oksigen dan menyerap pula gas karbon dioksida yang berada di persekitarannya untuk proses fotosintesis.  Keadaan inilah yang membantu mengurangkan suhu di sekeliling iaitu melalui mewujudkan udara yang sentiasa mengandungi wap air dan gas oksigen. Apabila kandungan wap air dan peratus oksigen sentiasa bertambah  manakala gas karbon dioksida berkurang, kesan rumah hijau dapat dikurangkan dan kualiti udara terkawal. Transpirasi juga merupakan proses yang membantu tumbuhan untuk hidup segar dan sihat dan juga membantu mewujudkan kesuburan yang berpanjangan.
Selain daripada itu faedahnya juga dapat dirasai oleh semua benda hidup khasnya kepada manusia .

Rujukan.

              1.   Sumber internet,
                                 http://forestry.usu.edu/htm/city-and-town/tree-selection/planting-trees-for-    
                                 energy-conservation-the-right-tree-in-the-right-place
              2.   Sumber internet,
                                 http://ga.water.usgs.gov/edu/watercyclemalay.html

              3.    Sumber internet:
                                 http://www.anneahira.com/tumbuhan-hijau.htm

          

                                         

Monday, 2 December 2013

TUGASAN 1
SSI 3013
UPSI 01 (A131 PJJ)
ZAINAL BIN JAMAL (D056070)
CABARAN-CABARAN PELAKSANAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Pendahuluan.
Penyebaran maklumat dan komunikasi (ICT) pada masakini semakin pantas dan maju . Maklumat-maklumat dapat diperolehi hanya dengan menekan jari pada komputer atau telefon tangan dan lain-lain gadget yang terdapat di pasaran masakini. Maklumat yang diperolehi dalam berbagai bentuk seperti gambar-gambar, lakaran, cetakan ,animasi, berlatarbelakangkan muzik dan sebagainya. Begitu juga dengan komunkasi semakin pantas dan menarik. Pengguna boleh menghubungi antara rakan-rakan dengan menggunakan panggilan seperti biasa, panggilan beserta gambar, mesej bergambar dan sebagainya. Pengguna juga boleh menghebahkan atau memaklumkan sesuatu pengumuman dengan lebih meluas terutamanya bagi mereka yang berniaga secara talian atau online.
Penyampaian maklumat secara tersebut di atas juga telah digunakan dengan sebaiknya di dalam bidang pelajaran di sekolah dan kolej. Para pelajar telah didedahkan dengan maklumat penggunaan teknologi maklumat bagi mengikuti perkembangan semasa dan mendapatkan maklumat terkini . Segala urusan pengajaran dan berkaitan pelajaran dirujuk kepada teknologi yang sedang ditingkatkan dan diperkembangkan oleh pihak kerajaan. Para pelajar dan ibubapa boleh mendapatkan maklumat keputusan peperiksaan melalui talian, mengisi borang permohonan juga melalui talian, dan berkomunikasi dengan rakan-rakan lain melalui facebook. Di dalam perancangan pelajaran kerajaan, bidang teknologi maklumat di peringkat sekolah sentiasa akan ditingkatkan dari masa ke semasa dimana para pelajar akan menyediakan kerja rumah dan latihan secara talian dan berkomunikasi dengan guru juga secara talian. Perkara ini telahpun dilaksanakan dengan pihak yang memajukan bidang teknologi komunikasi misalnya di negeri Perak telah diperlengkapkan dengan kemudahan internet secara percuma oleh syarikat YTL dan mewujudkan satu program khas komunikasi pengajaran dikenali sebagai FROG. Setiap guru dan pelajar telah diberikan ID masing-masing untuk mengakses laman FROG bagi berkomunikasi di antara pelajar dan guru dari segi perbincangan berkaitan pembelajaran.
Oleh itu, teknologi maklumat dan komunikasi sudah menjadi keperluan dan perlu diketahui penggunaannya oleh setiap individu pada masakini. Para pelajar perlu didedahkan pengetahuan dan kemahiran ini dengan berhemah dan terkawal agar dapat mengahadapi cabaran-cabaran global yang sedia menanti di hadapan.

Susur-Galur Perlaksanaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT
Hasil daripada inisiatif dan perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia, bersesuaian dengan perkembangan suasana yang sealiran dengan kemajuan teknologi maklumat, penggunaan teknologi maklumat telah diperkembangkan ke dalam urusan pentadbiran dan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Kebanyakan urusan pengurusan pentadbiran di Kementerian dilakukan secara akses talian atau on line dan secara tidak langsung mengurangkan penggunaan kertas di dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Di peringkat sekolah, telah diperkenalkan program Sekolah Bestari. Pada peringkat permula beberapa buah sekolah telah dipilih untuk mengaplikasi perancangan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi melihat sejauh manakah keberkesanan perlaksanaannya. Program ini telah dirancang melalui empat fasa perlaksanan. Fasa tersebut ialah:
a) Fasa 1 (Tahun 1999 hingga 2002). Projek Rintis untuk 88 buah sekolah terpilih.
b) Fasa 2 (Tahun 2002 hingga 2005). Pemantapan 88 buah Sekolah Bestari.
c) Fasa 3 (Tahun 2006 hinnga 2010). Pembestarian Sekolah.
d) Fasa 4 (Tahun 2011 hingga 2020). Konsolidasi dan Kelestarian.
Pelan strategik Pembestarian 2011 hingga 2015:
a) Sokongan Pedagogi dan Teknikal
b) Modal insan dan pembangunan kapasiti
c) Kajian dan Pembangunan (R & D) bagi teknologi dalam PdP.
d) Pembangunan infrastruktur ICT

Cabaran-cabaran Pelaksanaan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
a) Tenaga Pengajar Yang Mahir
Guru-guru mahir yang mengajar matapelajaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah masih lagi tidak mencukupi. Walaupun setiap tahun ramai guru yang berkelulusan ICT dari pelbagai universiti dikeluarkan, tetapi bilangan yang betul-betul mahir dengan teknologi dan maklumat yang terkini adalah kurang. Ini adalah disebabkan mereka kurang pengalaman dan kurang didedahkan dengan maklumat-maklumat baru yang mungkin tidak diperolehi semasa belajar di universiti. Kemahiran yang tinggi hanya dapat diperolehi setelah mereka bekerja beberapa tahun atau mengajar di sekolah beberapa tahun dan mengumpul pelbagai pengalaman dan pengetahuan tentang berkaitan ICT. Walaupun pihak Kementerian ada memberikan latihan dan kursus bagi meningkatkan keupayaan iktisas guru-guru di dalam bidang masing-masing, tidak semua guru-guru tersebut dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya memandangkan bebanan kerja semasa yang berterusan di sekolah. Kekurangan guru mahir di dalam bidang ini agak ketara di kawasan-kawasan luar bandar. Terdapat juga dikalangan guru-guru ICT mengajar matapelajaran yang lain misalnya Matematik, Fizik dan sebagainya. Mereka diletakkan sedemikian bagi mengatasi kekurangan guru di dalam matapelajaran yang berkenaan. Selain daripada itu, faktor kekurangan komputer, komputer banyak yang rosak dan ketiadaan makmal komputer menyebabkan guru-guru ICT mengajar matapelajaran yang lain. Secara tidak langsung kemahiran guru-guru tersebut semakin berkurangan dan daya kreativiti menghasilkan pengajaran ICT yang berekesan terbantut . Sebagai kesan dan akibat daripada faktor-faktor tersebut pelajar tidak dapat mempelajari teknologi dan maklumat secara konsisten dan lebih kreatif. Manakala pihak kerajaan terpaksa mengeluarkan kos setiap tahun bagi menyediakan kursus-kursus untuk guru-guru berkenaan.
b) Kos Pengurusan
Di dalam pengendalian kursus bagi meningkatkan kemahiran iktisas guru-guru ICT, kerajaan memerlukan kos tambahan bagi menyediakan modul, tempat, tenaga pengajar bagi mengendalikan kursus-kursus berkenaan. Modul-modul dicetak dan kemaskini secara terperinci agar maklumat dan objektif terkini dapat disampaikan kepada setiap guru ICT untuk dikongsikan bersama guru-guru dan pelajar-pelajar apabila kembali ke sekolah. Selain daripada itu kemudahan dan tempat mengadakan kursus perlu sesuai dan memudahkan guru-guru untuk hadir berkursus dan tenaga pengajar selesa untuk memberikan perkhidmatan di sepanjang kursus dijalankan. Selain daripada itu guru-guru berkenaan dan tenaga pengajar tersebut terpaksa meninggalkan tugas mereka samada di sekolah atau pusat pengajian tinggi bagi memberikan komitmen kepada tugasan masing-masing.
c) Menyediakan Kemudahan Berkaitan ICT
Untuk menjadikan pengajaran teknologi maklumat dan komnikasi (ICT) berkembang dan mencapai objektif di sekolah, pelbagai kemudahan infrastruktur perlu disediakan di setiap sekolah. Antara kemudahan tersebut ialah makmal komputer, komputer, kemudahan internet dan keselamatan penjagaan serta pengendalian komputer-komputer dan peralatan lain di sekolah.
Pihak kerajaan mengeluarkan kos yang besar bagi memastikan setiap sekolah mempunyai makmal komputer. Proses ini dilakukan secara peringkat demi peringkat. Setiap makmal perlu dilengkapkan dengan kemudahan peralatan seperti komputer, meja dan kerusi serta kemudahan talian internet. Proses pembekalan dan pemasangan kemudahan-kemudahan tersebut memerlukan masa yang lama bagi melengkapkan sepenuhnya makmal tersebut. Komputer-komputer yang dibekalkan perlu diterima dalam bilangan yang mencukupi dan dalam keadaan yang baik. Masalah timbul apabila sebahagian besar daripada komputer yang dibekalkan tersebut telah ada yang rosak dan memerlukan masa dan kos untuk dibaiki. Walaupun masih lagi di dalam jaminan tetapi proses membaikpulih dan mengganti alat memakan masa yang lama. Perkara tersebut sering berlaku di kebanyakan sekolah mungkin disebabkan kualitinya kurang baik atau kurang penyenggaraan yang teliti daripada pihak sekolah.
Selain daripada itu, bekalan komputer yang dibekalkan di sekolah tidak mencukupi jika dibandingkan dengan bilangan murid dan kelas yang ada di sekolah. Oleh itu peluang untuk menggunakan kemudahan ICT di sekolah adalah terhad dan kurang. Para pelajar kebanyakan masa belajar secara teori dan kurang secara hands on. Oleh itu tidak hairanlah mengapa para pelajar yang mengalami kes seperti ini akan merasa janggal atau takut untuk menggunakan komputer dan terus kurang berminat menggunakan komputer untuk aktiviti berkaitan pembelajaran.
Begitu juga dengan kemudahan alat tayangan LCD juga kekurangan di sekolah kerana kos penyenggaraan mahal atau mudah rosak. Oleh itu pengajaran secara dua hala tidak dapat dijalankan di dalam kelas kerana penggunaan LCD adalah terhad di dalam makmal computer dan makmal sains. Penggunaan LCD sangat perlu untuk guru-guru menayangkan tayangan video atau gambar yang boleh merangsang pelajar untub belajar secara dua hala kerana kerjaan telah membekal video cakera padat yang interaktif. Disamping itu guru-guru boleh menggunakan bahan dan maklumat dari internet semasa pengajaran dan pembelajaran. Semua tersebut bukan sahaja merangsang pelajar untuk belajar bahkan menarik minat serta usaha untuk mengambil tahu tentang teknologi maklumat dan komunikasi.
d) Kesukaran Mendapat Akses Internet
Kesukaran untuk mendapatkan akses internet juga mengurangkan dan manjadi cabaran kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang terletak di kawasan pedalaman. Kawasan-kawasan pedalaman yang tiada bekalan elektrik dan terlalu jauh sukar untuk mendapatkan akses internet. Ini adalah disebabkan oleh liputan internet tidak sampai ke kawasan berkenaan. Oleh itu para pelajar yang tinggal di kawasan berkenaan terhad pengetahuan tentang teknologi maklumat berbanding dengan pelajar lain terutama yang tinggal di bandar-bandar besar. Begitu juga pada masa yang lalu, pihak sekolah terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk mendapatkan akses internet dengan membayar yuran perkhidmatan secara bulanan. Ada juga kawasan-kawasan pedalaman yang jauh sering mendapat gangguan akses internet atau lemah liputannya. Selain daripada itu kesesakan akses talian internet juga berlaku di sekolah-sekolah akibat pengguna yang terlalu ramai. Guru-guru dan pelajar menggunakan kemudahan talian internet sekolah secara tanpa talian (WIFI) maka proses mendapatkan aksesnya lambat dan menyukarkan proses pembelajaran. Bagi mengatasi masalah ini ada pihak sekolah mengambil inisiatif melanggan dua atau tiga akses talian internet dengan mengasingkan untuk kegunaan pentadbiran dan pengajaran dan pembelajaran. Ini melibatkan kos tambahan bagi membayar yuran akses tersebut. Selain daripada itu, kerosakan juga berlaku kepada komponen-komponen internet menyebabkan penggunaanya sering terganggu dan dikurangkan. Kerosakan berlaku secara berulang-ulang dan memerlukan tambahan kos penyenggaraan. Kecurian pengesan talian internet juga kerap berlaku menyebabkan pihak pentadbiran menangguhkan pembelian yang baharu dengan mengambilkira kos yang bakal dikeluarkan untuk jangkamasa panjang.
Akses talian internet memerlukan kos yang tertentu untuk mendapat kepuasan dan kelicinan kelajuan pancarannya. Semakin bertambah kos yang dibayar semakin pantas kelajuan dan tempoh penggunaan akses talian tersebut. Sebab itulah ramai yang suka mengunakan talian yang diberikan secara percuma.

e) Sikap Pelajar
Seperti biasa, melalui internet pelbagai kemudahan maklumat mudah diperolehi dengan cepat dan jelas samada dalam bentuk tulisan, gambar dan video. Oleh itu penggunaan internet seharusnyalah digunakan dengan betul dan memberikan sesuatu pulangan yang positif kepada orang ramai terutama pelajar. Masalah besar yang timbul ialah penggunaannya disalahgunakan Para pelajar lebih suka dan kerap menggunakan game atau permainan semasa menggunakan komputer samada secara akses melalui talian internet atau yang telah disimpan di dalam komputer. Pelajar sanggup bermain permainan maya ini di dalam jangkamasa yang lama dan berulang-ulang. Oleh itu pelajar lebih fokus kepada aktiviti yang menyeronokkan dan melalaikan sewaktu mengaplikasi komputer. Selain daripada itu maklumat-maklumat yang terdapat di dalam talian internet yang ada bersifat positif dan negatif. Kemungkinan untuk melihat dan membaca maklumat-maklumat yang negatif adalah lebih besar dan sangat mudah. Lebih-lebih lagi apabila mereka di dalam kelompok yang ramai dan tidak diperhatikan oleh guru-guru dan ibu bapa. Sikap inilah yang sangat sukar dikawal terutamanya bila mereka bersendirian menggunakan akses internet. Selain daripada itu para pelajar lebih berminat dan lebih mahir di dalam memuat turun video, filem-filem terbaru dan lagu-lagu yang popular semasa mengakses internet. Walaupun mereka berjaya menggunakan sebanyak mungkin aplikasi program komputer, dan berjaya mempelbagaikan kemahiran mereka di dalam operasi secara talian internet, tetapi faedah untuk memperkembangkan minda dan meningkatkan pengetahuan ilmiah akan menjauh dan tersasar daripada matlamat asal. Matlamat untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif akan gagal sebaliknya melahirkan modal insan yang lebih kepada mementingkan keseronokan dan hiburan semata-mata. Perkara lain yang menjadi kegemaran pelajar di dalam menggunakan teknologi maklumat ialah mengunakan telefon pintar, netbook, untuk menghubungi rakan-rakan kenalan setiap kali berpeluang mengakses internet. Mereka sanggup berbalas-balas mesej dalam jangkamasa yang lama hanya untuk mesej-mesej yang tidak berfaedah atau untuk suka-suka. Keadaan akan menjadi lebih teruk apabila mereka saling-saling kata-mengata atau memfitnah sesama mereka atau orang lain yang mereka kenali. Sebagai akibatnya berlakulah pergaduhan dan permusuhan di antara mereka dan mewujudkan suasana yang tidak sihat dikalangan mereka.
Pelajar-pelajar yang menerima secara percuma netbook yang daripada kerajaan juga tidak menggunakannya untuk meningkatkan keupayaan mereka di dalam ICT, sebaliknya mengambil kesempatan menjadikannya sebagai bahan untuk mendapatkan hiburan iaitu menyimpan sebanyak mungkin filem-filem terbaru dan juga lagu-lagu terbaru. Sebahagian besarnya ada yang telah rosak akibat diserang virus dan masalah lain. Akhirnya netbook tersebut terbiar dan tidak digunakan lagi.
Seperkara lagi ialah ada di antara mereka yang menjual semula netbook untuk mendapatkan tunai dan menggunakannya bagi perkara yang lain.
f) Peranan ibu bapa dan Guru-guru
Setiap guru dan ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan mengendalikan komputer dan tahu mengakses internet untuk membantu mengawal tindak-tanduk pelajar semasa menggunakan komputer dan internet. Semasa di sekolah guru-guru boleh menyemak dan melihat komputer pelajar samada ianya digunakan kepada perkara yang positif atau sebaliknya sewaktu pengajaran dan pembelajaran ICT di makmal komputer ataupun di kelas. Guru juga sesekali boleh membuat spotcheck kandungan maklumat yang terdapat di dalam komputer atau netbook mereka.
Semasa di rumah, ibu bapa pula akan mengenaplasti dan menyiasat isi kandungan netbook pelajar. Namun begitu menjadi cabaran kepada ibu bapa dan guru sekiranya mereka kurang arif atau tiada pengetahuan tentang pengendalian komputer dan mengakses internet.
g) Pelajar Kurang Mampu Melanggani Internet dan Memiliki Komputer
Untuk meningkatkan lagi kecekapan dalam ICT, pelajar mestilah selalu membuat latihan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP). Jumlah waktu PdP di sekolah adalah terhad dan peluang untuk menggunakan komputer secara hands on adalah terhad. Untuk memiliki komputer sendiri seperti netbook adalah sukar memandangkan kebanyakan pelajar adalah berlatarbelakangkan keluarga yang sederhana. Bekalan netbook yang dibekalkan oleh kerajaan adalah terhad kepada pelajar yang betul-betul miskin. Oleh itu teori yang telah dipelajari tidak dapat dikembangkan dan dipraktikkan. Akhirnya pelajar kurang beminat dan cuba menjauhi daripada mata pelajaran ICT. Keadaan akan menjadi lebih rumit apabila guru memberikan kerja rumah yang perlu diselesaikan dengan menggunakan komputer dan perlu dirujuk ke internet. Walaupun terdapat kedai Cybercafe yang boleh dilawati untuk menyiapkan tugasan, namun begitu pelajar perlu mengeluarkan wang perbelanjaan untuk membayar kos penggunaan komputer dan internet. Disamping itu pelajar juga perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk tambang pergi kedai Cybercafe.
h) Prosedur yang ketat.
Seperti biasa, di dalam melaksanakan sesuatu perancangan mestilah mengikut prosedur yang tertentu untuk memastikan keselamatan, pengawalan inventori perlatan ICT. Sekurang-kurangnya seorang juruteknik ICT dibekalkan ke sekolah bagi memastikan penggunaan ICT tidak disalahgunakan oleh guru-guru dan pelajar. Oleh itu bagi mengelakkan kos penyenggaraan yang tinggi dan mengelakkan peralihan peralatan ICT tanpa kawalan, prosedur yang ketat perlulah diaplikasikan bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini. Kesan daripada prosedur tersebut menyebabkan guru-guru sukar dan kurang berminat untuk menggunakan makmal computer dan peralatan yang lain terutamanya LCD yang sensitif dan perlu digunakan mengikut langkah-langkah tertentu bagi mengelakkan berlakunya kerosakan pada alat atau komponennya.
i) Kekangan Untuk Menghabiskan Silibus
Guru-guru mempunyai target untuk menyelesaikan silibus dalam jangkamasa yang tertentu terutama bagi kelas-kelas yang terlibat dengan peperiksaan seperti tingkatan tiga untuk peperiksaan PMR dan kelas-kelas tingkatan lima yang terlibat dengan peperiksaan SPM. Silibus perlu dihabiskan dalam masa yang telah dirancang agar tidak menganggu urusan-urusan yang lain seperti persiapan peperiksaan, dan mengemaskini maklumat yang lain. Sekiranya penggunaan ICT di dalam pengajaran melewati masa yang dirancang, kemungkinan kesuntukan untuk menghabiskan silibus mungkin berlaku kerana terlalu kerap mengunakan tayangan video, courseware yang dibekalkan. Guru-guru perlu menganalisa courseware yang dibekalkan dan memilih bahagian-bahagian yang penting dan bersesuaian. Ini tidak bermakana courseware yang dibekalkan bahagian kokurikulum tidak sesuai dengan PdP , tetapi jika guru-guru menggunakan sepenuhnya semasa PdP, ditakuti tidak sempat untuk menghabiskan silibus sesuatu matapelajaran. Apa yang perlu dilakukan ialah menyunting bahagian-bahagian yang boleh ditinggalkan atau ang kurang penting.
Selain daripada itu disebabkan peralatan dan perkakasan ICT terhad dan terkawal, proses menggunakannya juga perlu mengikut giliran dan tempahan. Oleh itu guru perlu merancang dan menggunakan perlatan ICT secara berkala dan memastikan silibus dapat dihabiskan dalam waktu yang telah dirancang.
Berdasarkan kepada beberapa cabaran-cabaran yang dihadapi di dalam perlaksanaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran seperti yng telah dinyatakan di atas, dapat disimpulkan bahawa kebanyakannya melibatkan guru, pelajar, pentadbiran dan prasarana ICT itu sendiri. Namun begitu cabaran-cabaran tersebut masih boleh dikawal dan di atasi dengan mengambil beberapa langkah yang tertentu. Bagi cabaran-cabaran yang sukar di atasi misalnya melibatkan sikap pelajar, ianya perlulah ditangani dengan bijak dan berhati-hati agar matlamat asala dapat dicapai. Manakala masalah untuk mendapatkan akses internet ianya memerlukan masa di mana usaha masih dijalankan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan agar memenuhi kehendak seluruh warga dari Perlis hinggalah ke Sabah. Oleh itu beberapa cadangan dan langkah boleh diambil untuk mengurangkan dan mengatasi cabaran-cabaran yang tersebut di atas.
Cadangan-cadangan Untuk Mengatasi Cabaran-cabaran Perlaksanaan ICT Dalam PdP
a) Mencari Sumbangan Pihak Swasta
Pihak kerajaan boleh mengadakan kursus komputer dengan bekerjasama dengan pihak swasta atau syarikat tertentu misalnya Maxis, Celcom, Telekom Malaysia bagi menanjurkan kursus peningkatan kemahiran ICT. Pihak berkenaan boleh menyumbangkan sedikit kewangan bagi membantu mengadakan kursus ICT untuk meningkatkan kemahiran guru-guru di dalam menggunakan aplikasi computer dan ICT. Kursus seperti ini hendaklah dijalankan di sekolah dalam masa sehari. Kursus yang mengambil masa yang lama akan menyebabkan guru-guru kurang berminat untuk menyertainya. Selain daripada guru-guru, kursus sehari juga boleh diberikan kepada pelajar untuk memahami lebih tentang ICT. Selain daripada itu pihak sekolah juga boleh memohon kepada penyumbang-penyumbang tersebut menyumbangkan kelengkapan ICT mengikut kesediaan dan keikhlasan mereka.
b) Pengurusan Pihak Sekolah
Pihak sekolah boleh mengusahakan dan memastikan makmal computer telah dilengkapkan dan diuruskan dengan baik iaitu dengan mengurangkan bebanan kerja guru-guru ICT dan juruteknik yang sedia ada. Mereka mestilah diberikan tugas yang lebih menumpukan kepada kelancaran dan kecekapan mengurus hal-hal keselematan, penyenggaraan kelangkapan ICT di makmal computer, makmal sains dan di tempat lain. Ini dapat mengurangkan kerosakan pada komputer yang telah dibekalkan disamping memastikan penggunaan yang sebaik mungkin. Selain daripada itu sekiranya boleh, kurangkan prosedur yang agak ketat supaya guru-guru yang berkenaan dapat menggunakan makmal komputer ataupun sains dan juga meminjam peralatan ICT untuk tujuan PdP.
Pihak sekolah juga boleh mengusahakan bagi mendapatkan talian akses internet melalui sumbangan PIBG atau Kelab Guru atau individu tertentu. Akses talian internet mesti mempunyai kemampuan yang cukup untuk menampung keperluan PdP samada matapelajaran sains, matematik, bahasa inggeris dan lain-lain lagi.
c) Sikap Pelajar Yang Positif
Guru-guru perlu lebih aktif mendidik dan menyampaikan maklumat berkaitan tujuan dan matlamat yang sebenar mempelajari ICT dan menggunakan alat teknologi seperti komputer dan telefon pintar supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat dan menyalahgunakan kemudahan yang sedia ada. Ingatan seperti ini hendaklah diberikan sentiasa disamping spotcheck yang dilakukan terhadap aktiviti mereka.
Selain daripada itu netbook yang telah diberikan kepada mereka hendaklah disiasat dan disemak semasa PdP dijalankan. Ini bertujuan untuk mengelakkan para pelajar berkenaan menyimpan atu memuat turun video-video lucah, gambar-gambar yang tidak bermanafaat dan lain-lain perkara negatif.
Ibu bapa juga perlu didedahkan dengan pengetahuan ICT bagi membantu guru-guru memantau penggunaan internet dan maklumat yang terdapat di dalam netbook pelajar semasa mereka di rumah. Segala tindak-tanduk pelajar hendaklah dikenalpasti oleh ibu bapa atau penjaga supaya tidak bergaul dengan rakan-rakan yang kurang sihat.
d) Mengurangkan Bebanan Guru
Guru-guru diberikan lebih banyak masa menumpukan penggunaan ICT di dalam PdP dengan mengurangkan aktiviti ko akademik dan aktiviti bukan akademik. Penerapan aktiviti ko akademik atau bukan akademik boleh diterapkan melalui ICT seperti menayangkan video berkaitan kemasyarakatan, permainan, aktiviti badan unifom dan lain-lain lagi. Guru akan lebih kreatif di dalam menghasilkan bahan bantu pengajaran dalam bentuk cakera padat, poer point, excel dan sebagainya.
Kesimpulan
Berdasarkan perkembangan semasa, penggunaan peralatan ICT sememangnya tidak dapat dielakkan. Sebaik-baiknya setiap warga perlu mengetahui menggunakan dan mengoperasi komputer, menggunakan telefon pintar, alat-alat berkaitan ICT yang lain agar mudah mengikuti perkembangan semasa dan menggunakannya bila memerlukan. Ini adalah kerana kebanyakan aktiviti kehidupan seharian telah banyak dimudahkan dengan menggunakan teknologi terkini. Sebagai contohnya urusan pembayaran bil, cukai, lesen, insurans, permohonan jawatan, mengisi maklumat dan menyemak keputusan pelajaran pelajar semuanya dilkukan secara talian atau on line.
Maklumat-maklumat terkini seperti harga tiket, hotel, urusan pembelian barangan juga mudah didapati melalui teknologi ICT. Pengguna juga boleh berkomunikasi dan berhubungan secara terus dan percuma dengan anak, rakan samada dalam negeri ataupun di luar negara.
Dalam konteks pembelajaran, pelajar dapat belajar secara interaktif dan dua hala dan menjadikannya lebih menarik dan memudahkan. Oleh itu secara tidak langsung dapat mengurangkan pembelajaran secara tradisional iaitu guru bercakap, pelajar mendengar.
Oleh itu bagi memantapkan lagi penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) faktor dalaman, jiwa, rohani perlulah dikukuhkan dengan sifat terpuji dan iman yang kukuh agar dapat melawan nafsu atau perkara-perkara negatif yang sukar dihapuskan di dalam talian internet.
Oleh itu pada peringkat awal iaitu semasa di sekolah, para murid, pelajar perlu dibentuk akhlak yang baik bagi mengahdapi persekitaran yang pelbagai khasnya dalam teknologi dan komunikasi bagi bersedia menghadapi suasana yang dunia yang global.










Rujukan


1. Ab. Rahim Selamat (1990). Teknologi sistem pengajaran.Kuala Lumpur: Penerbit
Fajar Bakti.

2. Sharifah Alwiah Alsagoff (1992). Teknologi pengajaran. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

3. Yusuf Hashim (1998). Teknologi pengajaran. Kuala Lumpur. Penerbit Fajar Bakti.


4. Cabaran Perkembangan ICT Terhadap Insan Kamil Mukamil
Diambil pada 8 Oktober, 2013 dari
http://wanmohdaffendy.blogspot.com/2012/11/cabaran-perkembangan-ict-terhadap-insan.html
5. Isu Dan Cabaran Penggunaan ICT Dalam Pengajaran
Diambil pada 9 Oktober, 2013 dari
http://www.scribd.com/doc/21277985/Isu-Dan-Cabaran-Penggunaan-ICT-Dalam- Pengajaran

6. Isu:2 Penggunaan Teknologi & ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Diambil pada 9 Oktober, 2013 dari
www.slideshare.net/isuict12/isuict.presentation-kumpulan-12-12989330

7. Mudah Belajar.Com
Diambil pada 9 Oktober, 2013 dari
http://www.mudahbelajar.com/?p=523
8. PenggunaanTeknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Dalam Pengajaran dan
Pembelajaran.
Diambil pada 15 Oktober, 2013 dari
http://www.slideshare.net/shahwiran/penggunaan-ict-dalam-pp-presentation